
WONDER Girls mencipta sejarah sebagai kumpulan Korea pertama menembusi pasaran AS pada 2009 menerusi single, Nobody versi Inggeris yang memasuki carta Billboard Hot 100 pada tangga ke-76. Populariti luar biasa diterima Wonder Girls membawa kumpulan itu memperluaskan empayar di AS. Sejak satu setengah tahun lalu, aktiviti seni mereka lebih tertumpu di bumi Uncle Sam itu.
Kali terakhir Wonder Girls mengeluarkan single adalah pada Mei tahun lalu dengan Two Different Tears. Justeru, kepulangan mereka begitu dinanti selepas lama tidak beraksi di negara sendiri. Wonder Girls kembali ke Korea pada 9 Oktober lalu untuk memulakan proses rakaman album terbaru. Terdahulu, mereka menyempurnakan penggambaran filem, Wonder Girls At The Apollo sebagai bintang utama.
Kekosongan yang lama ditinggalkan Wonder Girls itu diisi SNSD yang dibarisi Taeyeon, Jessica, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun untuk membina pengaruh mereka di negara sendiri. SNSD mula diperkenalkan pada 2007 namun mendaki puncak populariti pada 2009 selepas single, Gee mencipta sejarah tersendiri.
Gee memegang rekod lagu paling lama diputarkan di Music Bank, saluran KBS selain menduduki tangga pertama selama sembilan bulan berurut-turut. Populariti luar biasa lagu itu mendorong laman muzik popular Korea, Melon menamakan Gee sebagai lagu terbaik alaf ini.
Biarpun siri promosi hanya akan bermula pada November ini, SNSD berupaya menarik sedikit nafas lega kerana trailer album, The Boys yang dipromosikan menerusi laman You Tube rasmi SM Entertainment ditonton jutaan peminat dalam masa beberapa hari. Petanda awal itu membuktikan kekuatan pengaruh kumpulan sembilan gadis itu, apatah lagi SNSD menawarkan konsep segar dalam album terbaru mereka.
Ia memberi cabaran kepada Wonder Girls kerana populariti kumpulan itu sedikit merosot apabila terlalu menumpukan aktiviti di luar negara.
Selain album, The Boys yang diedarkan serentak di Korea dan seluruh dunia secara talian pada 19 Oktober lalu, muzik video lagu itu turut dilancarkan menerusi saluran YouTube dan Facebook pada hari yang sama. Album itu akan dilancarkan di AS pada November ini menerusi Interscope Records yang menaungi nama popular seperti The Black Eyed Peas, Eminem, Far East Movement, Lady Gaga dan Gwen Stefani. Labels: 2011, Anti SNSD, Daebakk, Debut, SNSD, Sone